Rindu Serindunya



 💂

Jalan yang dilalui terasa begitu sunyi seolah tidak berpenghuni. Langkah yang diatur lancar itu langsung tidak meninggalkan jejak malah sukar dikesan. Suasana hening serta kesejukan malam yang sedikit berkabus itu sepertinya langsung tidak menganggu mereka.
100 meter berhampiran dengan sebuah pondok yang dilimpahi cahaya suram mentol kuning itu, satu isyarat senyap diberikan. Lantas masing-masing terus mengambil kedudukan berlindung. Mata masing-masing tidak beralih perhatian kearah pondok tersebut.
Jam 4.00 pagi. Mejar Afham Marzuki memberi isyarat tangan kepada anggotanya yang lain. Arahannya mudah sekali untuk difahami oleh pasukan terlatih itu. Masing-masing lesap sejurus menerima arahan.
30 minit berlalu tanpa sebarang bunyi. Koperal Singam yang merupakan anggota semboyan di dalam kumpulan tersebut menghampiri Afham dan tekun mendengar perintah pegawainya itu.
Lima belas minit kemudian, Afham melepaskan tembakan pertama menandakan serangan hendap terhadap kawasan pondok tersebut telah bermula.
Musuh-musuh yang berada di dalam pondok kaget dan mula melepaskan beberapa tembakan rambang ke sekitar pondok mereka. Dua daripada 6 orang musuh tersebut sibuk menyembunyikan senjata api yang diseludup oleh mereka bagi kegiatan merekrut pasukan pengganas mereka sendiri.
Pasukan pimpinan Mejar Afham Marzuki tangkas menyerbu pondok tersebut dan melepaskan tembakan tepat mengenai tiga orang daripada pengganas yang sedang meloncat daripada tingkap belakang pondok itu.
Pasukan elit itu tidak menunggu lama. Selepas memastikan musuh yang ditembak benar-benar tidak bernyawa, mereka meneruskan operasi mencari saki-baki musuh. Dingin subuh yang melanda tidak lagi dirasai malah peluh mengalir selaju kaki menghayun langkah mengesan jejak.
“Tuan, sini..” Prebet Nazim menunjukkan sesuatu kepada Afham.
“Tepi..Yang lain, ambil perlindungan.”, bisik Afham sambil dia meletakkan tubuhnya rapat ke bumi dan menguis wayar merah yang kelihatan samar-samar di celahan dedaunan kering.
Ditark perlahan-lahan wayar itu hingga dia menjumpai puncanya. Sah. Booby trap. Dengan yakin, teliti dan fokus, booby trap tersebut berjaya dimatikan.
Pasukan tersebut meneruskan misi menjejak musuh. Hari kian siang. Afham mengarahkan Prebet Nazim berwudhuk. Mereka akan berjemaah menunaikan solat Subuh memandangkan jam sudah mengarah ke angka 6.30 pagi.
“Yang lain-lain, berkawal.” Arahnya, perlahan namun tegas.
“Panggggg!!!”
“Allah… tuan..sakit, tuan…”
Peluru tepat menembusi bahu kanan Prebet Nazim yang baru sahaja bangkit dari rukuk.
Koperal Singam membalas arah tembakan musuh manakalah Sarjan Leong dan Prebet Nayan menarik Prebet Nazim ke perlindungan terhampir dengan mereka. Afham membalas tembakan oleh musuh di sebelah hadapannya. Dia yakin, di situ ada musuh yang terkena tembakan.
Search party!!”,laungnya dan disahut kembali oleh anak buah yang sedang mengatur semula.
Berhati-hati namun yakin, Afham merapati kawasan di hadapannya. Benar. Musuh disitu telah mati.
20 minit berlalu. Suasana sunyi. Tiada satu bunyi pun terhasil. Afham menyusup penuh berhati-hati menuju kearah prebet Nazim yang berlumuran darah.
“Tuan, sakit saya takkan terbalas dengan kesakitan yang musuh itu tinggalkan pada rakyat..Saya nak hapuskan mereka, tuan..” dalam nada tersekat-sekat, prebet Nazim cuba mengangkat tubuh.
“Tak berbaloi awak mati untuk orang pengecut macam mereka. Tembak dan larikan diri. Nazim, capai senjata awak. Bangun. Ikut saya. Yang lain, mara.”, dalam tegasnya, Afham mengambil alih tempat Koperal Singam dan memapah Prebet Nazim.
Jam 3 petang. Kesemua anggota pasukan tersebut selamat menuju ke pangkalan mereka menaiki helikopter yang telah dihantar oleh markas taktikal sebaik sahaja menerima laporan kecederaan Prebet Nazim.
                                                                                                                            .............bersambung
 

Comments